TRAGEDI banjir yang berlaku baru-baru ini boleh dikatakan sebagai situasi yang amat luar biasa khususnya buat rakyat di negeri Selangor yang berdepan banjir terburuk kali ini.
Bukan setakat kediaman, malah kenderaan juga kelihatan bergelimpangan di sekitar laluan jalan raya.
Bercakap mengenai situasi banjir, soal kerugian merupakan perkara yang terpaksa didepani hampir seluruh mangsa yang mendepaninya.
Baru-baru ini, menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), pihaknya telah menerima tuntutan kerugian akibat banjir dengan jumlah dianggarkan mencecah RM3 bilion.
Angka itu meliputi tuntutan persendirian dan komersial yang berpotensi dan sebenar, berpunca daripada banjir kilat selain musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan akan datang.
“Disebabkan banjir teruk luar biasa seperti yang dilaporkan secara meluas di pelbagai tempat dalam negara ini, industri insuran am berpotensi menghadapi peningkatan sebanyak RM2 bilion hingga RM3 bilion jumlah pendedahan tuntutan berkaitan banjir,” memetik kenyataan tersebut.
Selain itu, pihak PIAM turut menyumbang dana sebanyak RM2.43 juta kepada dana bantuan banjir yang ditubuhkan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong pihak yang terjejas.
“Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku, iaitu mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan, dan bantuan ‘ad hoc ex-gratia’ selanjutnya, seperti yang ditentukan oleh penanggung insurans am individu,” katanya.
Bantuan CSR ini pada awalnya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas secara langsung akibat banjir yang mana masih belum dibaiki lagi pada peringkat ini.
PIAM turut mengalu-alukan pelbagai pihak atau industri lain dalam memberikan sumbangan kepada Tabung Bantuan Banjir, di mana ia dapat memanjangkan hayat dana itu dan seterusnya membantu lebih ramai pihak yang terjejas.