Tragedi banjir, ‘mana ada saya hilang’ – Khalid Samad

AHLI Parlimen Shah Alam menyangkal dakwaan kononnya beliau hilang sewaktu seluruh mangsa banjir di kawasan itu berdepan musibah pada 18 Disember lalu.

Berang dengan dakwaan tersebut, Khalid Samad turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengulangi dakwaan tersebut di luar Dewan Rakyat.

Tegasnya, pada tarikh berkenaan beliau sedang sibuk menguruskan sebuah keluarga yang terlibat dengan kemalangan.

“Saya nak uruskan jenazah…. penempatan untuk keluarga yang datang dari Melaka nak ziarah. Terperangkap dengan banjir dan tak boleh balik. Hotel di Shah Alam pula semua penuh.

“Pada 19 Disember, saya pergi ke Decathlon untuk membeli tiga buah kayak (bagi membantu mangsa banjir),” ujarnya ketika sesi Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama beliau turut menyatakan kawasannya telah membuka empat dapur rakyat dan membekalkan 3,000 pek makanan sehari selama seminggu kepada mangsa-mangsa banjir.

Situasi Dewan Rakyat bertambah hangat apabila Bung Moktar yang berpendapat Ahli Parlimen Shah Alam itu sibuk menguruskan hal tidak berkaitan banjir membuatkan Khalid Samad tidak berada di kawasannya.

“Saya cabar Kinabatangan dan Perdana Menteri ulangi tuduhan saya hilang dari radar di Shah Alam pada hari banjir. Ulangi di luar, jangan tunjuk hero dalam Dewan.

“Jangan lah berlindung di sebalik Dewan, imuniti Dewan… Jangan jadi pengecut,” tegas Khalid.

Ketika sesi penerangan mengenai isu banjir pagi tadi, Perdana Menteri membidas wakil-wakil rakyat pembangkang yang didakwa “hilang” ketika musibah banjir membadai beberapa negeri pada 18 Disember lalu.