Tolonglah duduk rumah beri ruang pada KKM – KP Kesihatan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merayu kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus kekal untuk kuarantin diri dan kawalan kendiri di rumah bagi tempoh dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu bertujuan untuk memberi ruang kepada KKM untuk merawat pesakit COVID-19 sedia ada.

“Kita minta dalam tempoh dua minggu ini duduklah di rumah lakukan kawalan kendiri dan kalau kita berjaya lakukan ia mampu putuskan rantaian COVID-19 untuk tempoh tersebut.

“Yang bergerak itu manusia dan yang berhimpun itu juga manusia tetapi virus tidak bergerak dan semua itu manusia.

“Apa yang lebih penting adalah untuk memberi ruang kepada KKM untuk pertingkat keupayaan dan kesiapsiagaan kita di hospital dan mengurangkan kes COVID-19 khususnya di ICU,” katanya ketika sidang media di Putrajaya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menggalakkan orang ramai khususnya majikan untuk melakukan ujian saringan di fasiltiti swasta yang melibatkan saringan jenis RT-PCR dan juga RTK-Antigen.

Jelasnya lagi, fasiliti swasta setakat ini masih terdapat keupayaan sebanyak 70 peratus untuk meningkatkan kadar ujian saringan.