PETALING JAYA: Sempena sambutan perayaan Krismas, Kerajaan MADANI bersetuju untuk menawarkan tol percuma selama dua hari.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Kerajaan menanggung kos kewangan berjumlah RM38 juta bagi membayar balik syarikat-syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Keputusan pengecualian tol ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).
“Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada semua kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, inisiatif ini turut dilakukan supaya masyarakat dapat merancang perancangan yang lebih baik, di samping dapat bantu mengelakkan daripada berlakunya kesesakan lalu lintas.
“Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pemberian pengecualian tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa musim cuti.
“Pengguna juga dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini,” jelasnya.