KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Abdul Kamil Munim, mengecam tindakan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa mengasari seorang peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) malam tadi. Beliau menyifatkan insiden itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak wajar berlaku.
Menurut Kamil, kekerasan terhadap peniaga tersebut sama sekali tidak boleh diterima, walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Apa sahaja alasan daripada pihak DBKL tidak boleh sama sekali menghalalkan tindakan yang keji dan biadab seperti itu. Ini bertentangan dengan semangat Ramadan yang seharusnya memperteguh sikap kemanusiaan serta meningkatkan nilai keperibadian,” katanya menerusi hantaran di laman sosial ‘X’ hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Ramadan sepatutnya menjadi bulan untuk memperkukuh nilai kemanusiaan dalam diri setiap individu.
“Apa erti berpuasa dan beramal di bulan Ramadan sekiranya kita gagal menjadi lebih berperikemanusiaan serta tidak menunjukkan ihsan dan belas kasihan kepada golongan yang kurang berkemampuan?” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat dalam insiden tersebut.
Sementara itu, video kejadian yang tular di media sosial telah mencetuskan kemarahan orang ramai. Rata-rata netizen mengecam tindakan penguat kuasa DBKL yang dianggap melampaui batas dan tidak berperikemanusiaan.
Setakat ini, pihak DBKL masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.