Tiga anggota TUDM maut ditembak rakan, sebelum tembak diri sendiri

TIGA anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan, pagi tadi.

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 7.15 pagi tadi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

“Difahamkan kejadian itu berlaku ketika masa serah tugas.

“Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, dua anggota TUDM yang ditembak maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi cedera parah.

“Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.

“Mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan,” katanya lagi.

Kesemua mereka yabg terlibat dikatakan bertugas di balai pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

Sementara itu, TUDM menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu, perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.

“TUDM serahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

“TUDM menggesa mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi tujuan mengenal pasti punca kejadian.

Terdahulu, pasukan Forensik PDRM serta Hospital Umum Sarawak turut berada di kawasan kejadian.