Tiga anggota polis trafik direman, terlibat kes minta rasuah pemandu tidak patuh SOP PKPB

GARA-GARA didakwa cuba meminta rasuah daripada seorang pemandu van yang tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiga anggota trafik di negeri Selangor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bernilai RM500 melibatkan kesemua mereka pada Ahad lalu. 

Ketiga-tiga mereka merupakan anggota polis trafik masing-masing berpangkat Sarjan dan koperal dikatakan menerima rasuah daripada pemandu yang ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin di Mahkamah Shah Alam hari ini. 

Terdahulu, kesemua mereka tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam sekitar jam 10.30 pagi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diiringi beberapa anggota SPRM. 

Difahamkan, mereka ditahan kira-kira jam 7 petang semalam sebaik sahaja selesai memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor. 

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek telah menahan sebuah van yang di Lebuh Raya Guthrie Ahad lalu yang membawa 10 penumpang dan tidak mengikut SOP penjarakan fizikal. 

Kesemua suspek telah mendesak pemandu van memberikan rasuah bagi tujuan mengelakkan mereka dikenakan kompaun atas kesalahan PKPB. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.