Tiada Kecederaan Berunsur Jenayah Terhadap Kematian OKT Di Marudi

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan daripada hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas seorang Orang Kena Tahan OKT yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Daerah Marudi, Sarawak selepas mengadu sakit dada dan kesukaran untuk bernafas Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad menerusi satu kenyataan memaklumkan, bedah siasat telah dijalankan di Hospital Miri, Sarawak semalam.

Katanya, Ujian pengesahan COVID-19 telah dijalankan ke atas si mati dan hasil keputusan adalah negatif.

“Punca kematian adalah disebabkan pendarahan dalam perut akibat penyakit hati yang kronik. Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Datuk Seri Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang lelaki etnik Kenyah yang ditahan atas kesalahan ugutan jenayah dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Daerah Marudi, Sarawak selepas mengadu sakit dada dan kesukaran untuk bernafas, Isnin lalu.

OKT berusia 50 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Beluru di Marudi.