SYARIKAT penyiaran TV AlHijrah akhirnya tampil menjelaskan alasan pihak produksi yang menerima kecaman hebat netizen kerana menjemput ‘Kak Long 7E’ sebagai tetamu jemputan dalam salah satu program terbitan mereka.
Melalui kenyataan media yang diedarkan sebentar tadi, TV AlHijrah melalui Unit Komunikasi Korporat mereka berkata kehadiran individu yang tular akibat adegannya yang memarahi pekerja sebuah kedai serbaneka sebelum ini adalah bertujuan untuk teguran serta pengajaran kepada ‘Kak Long 7E’ itu sendiri.
“Program Trending merupakan sebuah program perkongsian yang membincangkan isu-isu terkini yang tular di media sosial.
“Kehadiran ‘Kak Long 7E’ di studio juga disertai oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki sebagai panelis yang mengambil peranan memberi tausiyah, teguran serta pengajaran kepada ‘Kak Long 7E’ agar lebih peka dan bertanggungjawab sebelum berkongsi apa sahaja isu di mana-mana platform khususnya di media sosial, tulis kenyataan tersebut.
Justeru, mereka mengambil pendekatan untuk menangguhkan siaran episod tersebut.
“TV AlHijrah juga mengambil kira kegelisahan yang tercetus dan mengambil keputusan untuk menangguhkan penyiaran episod tersebut,” jelas kenyataan itu.
Syarikat penyiaran itu turut memberi penghargaan atas teguran yang diterima daripada masyarakat.
“TV AlHijrah mengucapkan terima kasih atas maklum balas serta teguran penonton dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kandungan kami agar lebih member manfaat kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, TV AlHijrah mengejutkan ramai pihak apabila seorang penceramah bebas terkenal memuat naik gambar bersama individu itu semasa rakaman program tersebut.
Bagaimanapun perkongsian itu telah dipadam apabila menimbulkan kegusaran masyarakat yang menganggap ia sebagai mempromosi individu yang membawa teladan kurang baik