‘Terima kasih buat saya popular’ – Raja Bomoh

SIAPA tak kenal gelaran Raja Bomoh yang terkenal dengan beberapa siri ritual yang ada kalanya sukar diterima akal apabila wujud beberapa isu yang menjadi perhatian awam.

Raja Bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menjadi sebab beliau terkenal.

Signifikan dengan penggunaan teropong ajaibnya, Raja Bomoh terkenal dengan beberapa siri ritual kadang-kadang dianggap lucu dalam kalangan netizen.

Sehingga hari ini , segala ritual yang dijalankan masih menjadi tanda tanya sama ada ia hanya berbentuk gimik semata-mata atau hanya sekadar menghiburkan penduduk tempatan.

Baru-baru ini juga Raja Bomoh itu menerima kecaman hebat apabila melakukan ritual tolak banjir yang dilakukan di Dataran JPS, Teluk Intan pada 4 Januari lalu baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau gembira dengan perhatian yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadapnya meskipun berdepan dengan cacian.

Dalam masa sama, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Perak yang memberi peluang dan layanan yang baik sepanjang beliau disoal siasat.

Pada tahun lalu, Raja Bomoh pernah tampil mendakwa bahawa beliau telah memagar seluruh dunia, khususnya Malaysia, daripada wabak COVID-19 selepas diminta berbuat demikian oleh rakan bomohnya yang lain dari seluruh dunia.

Bukan setakat itu, malah kehilangan pesawat MH-370 pada 2014 juga menjadi tular apabila ritual turut dilakukan di kawasan KLIA menggunakan teropong dan kelapa bagi misi mengesan pesawat yang hilang itu.