“Tentera kami adalah organisasi pengganas penjenayah perang” – bekas juruterbang tentera Israel

BEKAS juruterbang Angkatan Tentera Udara Israel, Yonatan Shapira mendedahkan bahawa pemerintah dan tentera Israel sebagai organisasi pengganas yang diurus oleh penjenayah perang.

Menurutnya yang ditemu bual eksklusif oleh agensi berita Turki, Anadolu, Shapira telah mengundurkan diri dari tentera Israel pada tahun 2003 iaitu ketika puncak Intifadah Kedua Palestin.

Dia menyedari bahawa Angkatan Tentera Udara Israel merupakan salah satu organisasi penjenayah perang selepas dilantik menjadi juruterbang bagi organisasi berkenaan.

“Saya menyedari semasa Intifada Kedua mengenai hal sebenar dilakukan oleh Tentera Udara Israel dan tentera Israel adalah penjenayah perang. Mereka telah menindas berjuta-juta penduduk Palestin. Saya juga memutuskan untuk tidak hanya mengangkat kaki tetapi mengatur bersama juruterbang lain yang secara terbuka menolak untuk turut serta dalam misi jahat yang dilakukan mereka”, katanya.

Tambahnya, “Sebagai seorang anak yang dilahirkan Israel, mereka dibesarkan dalam pendidikan militeristik Zionis yang sangat kuat. Mereka hampir tidak tahu apa-apa tentang Palestin, tentang Nakba 1948 dan juga tidak tahu tentang penindasan sebenar yang sedang dilakukan”.

Sejak meninggalkan tentera Israel, Shapira telah melancarkan kempen yang mendorong anggota tentera lain untuk tidak mematuhi perintah menyerang rakyat Palestin. Kempen ini telah menyebabkan 27 juruterbang tentera lain dipecat dari jawatan mereka di Tentera Udara Israel sejak tahun 2003.

Pada minggu lalu, pesawat perang Israel telah melakukan ratusan serangan udara terhadap orang awam Palestin di Jalur Gaza yang dikepung, membunuh sekurang-kurangnya 188 orang Palestin termasuk 55 kanak-kanak dan 33 wanita dan mencederakan 1,230 orang.

Terbaru, Israel telah mengingkari perjanjian genjatan senjata bersama Hamas kurang dari tempoh 12 jam selepas diumumkan.

Sumber: Middle East Monitor