Tekanan emosi tiada pekerjaan, lelaki cuba terjun dari tingkat 11

AKIBAT mengalami tekanan emosi, seorang lelaki berusia 25 tahun bertindak dalam satu cubaan bunuh diri dari tingkat 11 PPR Beringin, Kuala Lumpur dalam kejadian pada jam 11 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Beh Eng Lai berkata, individu berkenaan dikatakan mengalami tekanan akibat tidak mempunyai sebarang pekerjaan selain hidup berseorangan.

“Lelaki berkenaan yang berasal dari Ipoh, Perak itu menumpang di rumah rakannya di lokasi kejadian dan mengalami tekanan akibat tidak mempunyai pekerjaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Usaha itu bagaimanapun berjaya digagalkan oleh orang awam apabila dia berjaya diselamatkan setelah ditarik salah seorang individu.

Polis bagaimanapun telah menahan individu berkenaan dan telah dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan membunuh diri.

Insiden yang tular itu telah mencutuskan panik dalam kalangan penduduk setempat apabila ia menyaksikan lelaki tersebut cuba untuk terjun menerusi tingkap di pangsapuri terbabit.