Teka-teki terjawab, Noraini umum letak jawatan Menteri Pengajian Tinggi serta merta

DATUK Seri Noraini Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi secara serta merta.

Ia sekaligus menamatkan teki-teki sama ada beliau kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya setelah mengumumkan keputusan tersebut pada petang Jumaat.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO menjelaskan berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos 2021, beliau sebagai salah seorang ketua sayap parti itu akur dengan keputusan parti.

Kenyataan Noraini di laman Facebook miliknya.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat di dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang.

“Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik Covid-19,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, usaha berkenaan tetap diteruskannya meskipun beliau tidak lagi menjadi menteri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga KPT dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas.

“Semoga Allah SWT merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” jelasnya.

Noraini menyusuli tindakan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang terdahulu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli pada Selasa.