Tawar layanan ‘dine-in’ dalam kenderaan pun dikira langgar SOP

SEBUAH premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ dalam kereta di Sarawak telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan kompaun boleh dikenakan ke atas pengusaha premis kerana menyediakan layanan sedemikian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata pengusaha premis makanan berkenaan dinasihatkan supaya menghentikan layanan perkhidmatan tersebut.

“Menghantar makanan secara hidangan kepada pelanggan untuk makan dalam kenderaan mereka atau kenderaan yang disediakan oleh premis adalah tidak mematuhi SOP, yang mana hanya membenarkan bawa pulang,” katanya kepada Berita Harian pada 24 Mei.

Beliau mengulas mengenai tindakan pengusaha premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ dalam kereta. Inisiatif itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai selepas larangan untuk makan di dalam premis dikuatkuasakan.

Aidi berkata, setakat ini, sebuah premis makanan di Miri dikompaun pada 21 Mei lalu kerana menyediakan layanan sedemikian.

Menjelas lanjut, tindakan itu adalah melanggar SOP kerana hanya ‘take away’ dibenarkan dan sekiranya pelanggan membeli (take away) dan makan di dalam kenderaan mereka sendiri, ia tidak menjadi kesalahan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum ini telah memutuskan tidak membenarkan restoran, kedai makan, bistro, kafe, gerai makanan dan minuman beroperasi secara ‘dine-in’ (makan di kedai). Aktiviti pembekalan dan penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran saja.

Ia adalah sebahagian daripada syarat SOP yang diperketatkan bagi mengawal penularan Covid-19 yang membimbangkan di negeri Sarawak.