Tauke kedai runcit didakwa cabul jururawat

SEORANG pemilik kedai runcit mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencabul seorang jururawat.

Pengakuan itu dibuat di Mahkamah Majistret Butterworth sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi hari ini.

Tertuduh, Mohd Ridi, 55 tahun dikatakan membuat kesalahan itu pada 8 Mac lepas di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan dengan mencabul kehormatan seorang jururawat wanita berusia 24 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di wad 3B Hospital Kepala Batas pada kira kira jam 11.30 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh berdepan hukuman penjara selama tempoh 10 atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani manakala tertuduh diwakili penguam Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.

Tarikh 8 Mac ditetapkan sebagai sebutan semula kes.

Berdasarkan tarikh perbuatan itu, tertuduh dikatakan bertindak mencabul mangsa dengan mengusap jarinya di Hospital Kepala Batas.

Perbuatan itu dipercayai sebagai cubaan melakukan gangguan seksual ketika pemeriksaan paras gula sedang dilakukan.