Tak sangka emas ‘terbuang’ dalam tong sampah dijumpai semula – “Terima kasih wira oren”

SEORANG wanita di Butterworth yang juga merupakan anggota polis tidak menyangka barang kemasnya ditemukan semula selepas ‘terbuang’ barangan berharga itu ke dalam tong sampah.

Lebih mencemaskan, sampah yang dibuang itu telah dipungut oleh lori sampah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), lapor Berita Harian.

“Pada awalnya saya sudah reda apabila barang kemas yang saya terbuang tidak ditemui, namun siapa sangka Wira Oren (pekerja am MBSP) sanggup berkorban masa dan tenaga membantu menggeledah timbunan sampah untuk mencari semula emas saya sehingga berjaya ditemui semula,” kata Lans Koperal Rohaya Ismail, 31.

Rohaya yang juga anggota polis di Balai Telok Ayer Tawar, di sini berkongsikan kisah itu melalui laman sosial Facebook (FB) miliknya, ‘Yaya Ismail’ sehingga ia tular dan mendapat perhatian warganet yang memuji tindakan mulia sekumpulan pekerja MBSP itu.

Kerja mencari emas milik Rohaya.

Katanya, kejadian bermula apabila dia yang membuang lampin pakai buang anaknya tidak menyedari bahawa dia terbuang sekali bersama satu beg kecil yang mengandungi sejumlah emas miliknya yang dibeli dan disimpan sejak dia berusia 18 tahun.

“Barang kemas itu sangat bermakna untuk saya kerana saya berasal dari keluarga bukan senang. Ayah meninggal dunia masa usia saya 14 tahun yang saya cuba mengumpul emas itu sedikit demi sedikit ketika bekerja kilang untuk kegunaan masa terdesak.

“Saya tidak tahu macam mana ia boleh terbuang, mungkin sebab kalut sangat sehingga sedar ketiadaan satu beg kecil pada jam 7.45 pagi semalam dan ketika itu memang rasa hendak menangis sebab emas itu begitu berharga untuk saya.

“Kebetulan abang saya ingin keluar pergi buang sampah pada jam 9 pagi hari sama dan saya minta dia tolong cari tetapi tidak ada, sehingga abang saya jumpa sebuah lori MBSP tidak jauh dari kuarters yang saya diami.

“Mereka (pekerja) minta saya pergi ke depo pembersihan di Tasek Gelugor,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Rohaya berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi barang kemas miliknya itu ditemui semula, tambahan pula bukan mudah untuk mencarinya di samping tidak boleh sewenang-wenangnya kerana perlu mengikut prosedur.

“Saya sudah reda jika tiada rezeki serta serahkan semua urusan kepada Allah. Yang saya tidak sangka, dari pihak atas sehingga bawah sanggup berkorban masa dan tenaga mereka untuk turun cari dalam timbunan sampah yang begitu banyak.

“Tidak lama kemudian (jam 1.30 tengah hari) abang saya menghubungi saya dengan panggilan video menunjukkan barang kemas saya ditemui semula dalam satu beg plastik hitam. Syukur dan terima kasih tidak terhingga buat sekumpulan Wira Oren. Perasaan saya tidak terungkap dengan kata-kata.

“Walaupun ada yang pandang serong terhadap pekerjaan mereka (Wira Oren), bagi saya mereka adalah wira negara yang ikhlas serta jujur apabila 

sanggup berkorban mencari juga barang kemas saya sehingga jumpa,” katanya yang merahsiakan nilai keseluruhan barang kemas miliknya itu.

Terdahulu, hantaran wanita berkenaan tular di media sosial dengan mendapat ribuan tanda suka dan dikongsi ratusan pengguna FB.

Menurut posting itu, wanita terbabit turut memberikan sedikit sagu hati kepada pekerja MBSP berkenaan sebagai tanda penghargaan selepas bertungkus-lumus menggeledah, mengorek dan mencari emas miliknya dalam timbunan sampah sehingga ditemui.

Sumber: Berita Harian