Home Berita Semasa Tak sampai sehari samun dah kena tangkap

Tak sampai sehari samun dah kena tangkap

KEGEMBIRAAN dua individu lelaki selepas berjaya menyamun seorang warga emas tidak bertahan lama apabila kedua-dua mereka berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Kejadian pada 2 Julai lalu di sekitar Klang itu berlaku apabila mangsa yang merupakan seorang pesara kerajaan berusia 60an disamun dua individu bersenjatakan parang ketika dalam perjalanan menuju ke surau untuk menunaikan solat subuh.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurul Huda Mohd Salleh berkata, perbuatan suspek bagaimanapun berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan.

Suspek menunjukkan lokasi barangan peribadi yang dibuang.

“Hasil risikan polis telah berjaya menangkap dua suspek terlibat yang seterusnya memandu arah pihak polis ke lokasi barangan peribadi yang dibuang lebih kurang tiga kilometer dari lokasi kejadian.

“Kereta telah disorokkan di tempat letak kenderaan sebuah flat di Kapar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nurul Huda, kedua-dua suspek berusia sekitar 20 hingga 30an itu turut mempunyai 13 rekod jenayah lampau antaranya berkaitan kes dadah, pergaduhan curi kenderaan, dan samun.

Tangkapan turut membawa kepada rampasan sebuah motosikal dan kenderaan dipercayai hasil kegiatan menyamun.

Kedua-dua suspek juga didapati baru sahaja tamat tempoh menjalani hukuman POCA selama dua tahun.

Kesemua mereka direman selama lima hari bermula 3 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Exit mobile version