“Tak salah tak perlu pengampunan” – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan penglibatan beliau bersama Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) mengenai petisyen memohon Pengampunan Diraja ke Istana Negara pagi tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun menghargai usaha kumpulan itu dalam mengambil berat berhubung keadaan beliau.

Najib Razak menegaskan, segala proses perbicaraan melibatkan pihaknya di mahkamah ketika ini akan tetap diteruskan secara adil dan telus tanpa campur tangan politik.

Tegas beliau, itu merupakan satu-satunya lanmgkah untuk membersihkan nama beliau terhadap kesemua kesalahan yang disabit terhadapnya .

“Saya amat yakin saya tidak bersalah. Sebab itu apa perlunya saya diampun sekiranya saya tak salah?,” kata beliau menerusi hantarannya di Facebook hari ini.

Najib Razak dalam masa sama berpendapat, laporan beberapa media berkemungkinan untuk memalukan dirinya berhubung hantaran petisyen Pengampunan Diraja itu.

PSUAM hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon Pengampunan Diraja diberikan kepada Najib sekali gus melantiknya sebagai Perdana Menteri Interim.

Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketika ini, proses rayuan dimohon di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan kes berhubung keputusan tersebut.

Selain itu, beliau turut berdepan perbicaraan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).