Tak jadi bunuh diri sebab tak tahan panasnya api

SEORANG lelaki membuat cubaan untuk membunuh diri dengan membakar dirinya setelah menyimbah petrol ke seluruh badan dalam satu kejadian berhampiran sebuah kuil di Jalan Ngee Heng, Johor Bahru, Johor awal pagi tadi, lapor Kosmo!

Dalam kejadian pada pukul 1.53 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun itu bagaimanapun berubah fikiran apabila tidak mampu menahan panas lalu berlari masuk ke dalam parit berhampiran.

Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan dan melecur pada bahagian tangan dan badan.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Rafie Ahmad Sareng berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menyelamatkan lelaki tersebut dalam keadaan sudah melecur lima peratus di bahagian tangan dan badan.

“Pihak bomba mengangkat mangsa dalam longkang dengan menggunakan stretcher sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

“Kita tidak tahu apa motif lelaki berkenaan mahu membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan Kosmo!

Sumber: Kosmo!

Most Popular