Tak bertanggungjawab! KKM kesan 523 ‘Check In’ melibatkan individu positif COVID-19

MELIHAT kepada situasi COVID-19 yang masih menular di negara, masih terdapat individu yang tidak bertanggungjawab apabila dengan sengaja mendatangkan risiko terhadap individu lain.

Perkara itu merujuk kepada dapatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesan sebanyak 523 ‘Check In’ di beberapa premis melibatkan individu positif COVID-19 di Kedah.

Kesemua individu yang terlibat itu sepatutnya menjalani proses kuarantin di rumah bagi mengelakkan sebarang risiko penularan terhadap individu lain.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, daripada jumlah itu, 18 peratus daripada mereka telah membuat kemasukan di kawasan pasar raya.

“Saya sudah maklum perkara ini kepada Menteri Besar Kedah dan angka itu merupakan dalam tempoh seminggu ini.

“Sebenarnya mereka ini tidak boleh keluar, status merah, sama ada positif atau ‘high risk’.

“Kita minta pemilik premis buat pengawasan ketat di pintu masuk kerana apabila individu positif dapat masuk maka tiada pemeriksaan yang rapi dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, kesemua nama individu positif yang terlibat telah dihantar ke Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu, KKM akan membekalkan sebanyak 1,510 silinder oksigen tambahan bagi pesakit COVID-19 kritikal yang memerlukan di negeri itu.

Ini termasuk tambahan sebanyak 10 katil yang akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebagai persediaan untuk kemasukan pesakit.