Syed Saddiq Ucap Terima Kasih Kepada PM, TPM Terkait Soal Peruntukan

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung isu peruntukan pembangkang.

Beliau mengharapkan terdapat pengakhiran baik buat kawasan Parlimen Muar yang sekian lama menanti dana bagi membantu rakyatnya.

Syed Saddiq yang juga Bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, beliau amat menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pada baru- baru ini yang memaklumkan draf perjanjian di antara beliau dan kerajaan untuk menerima dana wakil rakyat kini berada di fasa akhir.

“Saya dari awal terima cadangan berunding demi mendapatkan peruntukan untuk menjaga kebajikan warga Muar tanpa mengira agama dan kaum terutama golongan memerlukan,” katanya memetik laporan media tempatan.

Sebelum ini media melaporkan, Fadillah Yusof memberi jaminan bahawa isu peruntukan Syed Saddiq akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata, Syed Saddiq turut menyatakan rasa setuju terhadap syarat-syarat ditetapkan kerajaan.

Baru-baru ini di Dewan Rakyat, Syed Saddiq mengaku terpaksa menjadi model baju raya satu jenama fesyen bagi mendapatkan dana untuk pengundi di kawasan Parlimennya.

Beliau berkata, ia susulan usahanya mendapatkan peruntukan daripada kerajaan belum berhasil selepas Perikatan Nasional (PN) yang mengetuai blok pembangkang mengumumkan ia menolak draf MoU peruntukan Ahli Parlimen pada September tahun lalu.