Home Berita Semasa Suspek conteng istana, tumbuk polis disahkan maut

Suspek conteng istana, tumbuk polis disahkan maut

SEORANG lelaki yang dikatakan terlibat dengan dua perbuatan khianat menconteng tembok Istana Anak Bukit serta menumbuk seorang anggota polis disahkan maut dalam kemalangan di Bedong, Sungai Petani, Kedah semalam.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, suspek berusia 30an itu bertindak melarikan diri apabila menconteng tembok istana dengan perkataan ‘SAMR’.

Tambahnya, suspek juga telah menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis yang sedang bertugas.

Tidak cukup dengan itu, suspek difahamkan telah membaling objek berbentuk pistol mainan sebelum melarikan diri.

Kenyataan yang dikeluarkan IPK Kedah.


“Akibat kejadian itu, anggota polis wanita berusia 30-an itu mengalami kecederaan di bahagian muka.

“Siasatan yang dilakukan berjaya mengesan suspek lelaki yang terbabit di dalam kedua-dua kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek bagaimanapun telah ditemui di kawasan Gurun, Sungai Petani sebelum melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.

Berlaku insiden kejar mengejar sehingga diberi amaran untuk berhenti namun suspek dikatakan enggan menghentikan motosikal yang dinaikinya sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian terus melarikan diri namun anggota kita terus mengekori suspek serta memberi amaran supaya berhenti namun suspek tidak berhenti terus dan melarikan diri.

“Motosikal yang ditunggang laju oleh suspek dipercayai terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani dan dia mengalami kecederaan,” katanya lagi.

Setakat ini siasatan masih giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.

Exit mobile version