Suspek bunuh, sorok mayat jiran bawah katil direman

FOTO: Bernama

SEORANG suspek wanita warga Indonesia yang disyaki membunuh rakan senegaranya di tingkat dua sebuah pangsapuri di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, di sini, pada Isnin lalu direman selama enam hari.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, berkata suspek berusia 39 tahun itu direman sehingga Isnin depan, bagi membantu siasatan kes berkenaan,” lapor Bernama.

Mengulas mengenai sama ada suspek ada menggunakan sebarang senjata dalam kes itu, beliau berkata pihaknya tidak menemui sebarang senjata digunakan.

“Setakat ini, masih tiada lagi pengakuan mengenai senjata digunakan suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, mayat wanita yang juga penjual kuih ditemukan disorok di bawah katil suspek yang juga seorang pembuat kuih.

Motif pembunuhan itu dipercayai suspek terdesak kerana mempunyai masalah kewangan dan mangsa memakai barangan kemas yang banyak. 

Sumber: Bernama