Sultan Selangor Berdukacita Kerana Jenayah Seksual Semakin Meningkat

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berdukacita dengan jenayah seksual yang semakin meningkat seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata Baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor menerima maklumat bahawa kes tersebut yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor adalah tinggi.

Kemudian, beliau berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa risau terhadap masalah tersebut yang semakin berleluasa.

Baginda dukacita dengan perkembangan kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan kesan negatif dan mampu meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat di Selangor.”

Jenayah seksual yang semakin kritikal ini menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa terbabit yang sepatutnya dilindungi oleh pelaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor mengizinkan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksual sebagai peringatan kepada masyarakat.

Namun menurut laporan Berita Harian, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap rakyat dapat hidup aman tenteram dan bebas daripada ancaman jenayah seksual dalam negeri Selangor ini.