Tidak dibenarkan berbikini, bintang bola tampar Jerman boikot Qatar

INI baju kerja kami. Bintang bola tampar pantai Jerman, Karla Borger dan Julia Sude berkata, mereka memboikot kejohanan di Qatar bulan depan kerana ia ‘satu-satunya negara’ melarang pemain memakai bikini di gelanggang, lapor Kosmo!

“Kami ke sana untuk melakukan tugas kami tetapi kami dihalang memakai baju kerja kami (bikini).

“Ini satu-satunya negara dan kejohanan di mana kerajaan memberitahu kami bagaimana untuk melakukan kerja kami,” Karla memberitahu stesen radio tempatan, Deutschlandfunk pada Ahad lalu.

Sementara itu, memetik laporan asal AFP, Persatuan Bola Tampar Qatar memberi maklum balas bahawa pihaknya komited memastikan supaya semua atlet berasa diri mereka dialu-alukan dan selesa semasa menyertai kejohanan bulan depan.

Katanya, semua atlet bebas bertanding dalam seragam antarabangsa mereka.

Qatar menjadi tuan rumah kejohanan Jelajah Dunia FIVB tetapi peraturan ketat mengenai pakaian di gelanggang mendorong Karla dan Julia memulaukan acara tersebut.

Beregu tersebut adalah pemenang pingat perak kejohanan dunia.

Kerajaan Qatar dilaporkan meminta para pemain memakai baju dan seluar panjang berbanding bikini sebagai menghormati negara tuan rumah.

Namun, dalam keputusan yang disokong persekutuan bola tampar Jerman, DVV, Karla dan Julia memberitahu majalah Spiegel bahawa mereka menolak peraturan pihak berkuasa Qatar itu.

Karla berkata, mereka biasanya akur kepada permintaan mana-mana negara tetapi cuaca panas ekstrem di Doha memerlukan mereka memakai bikini.

Sumber: Kosmo!