Tenang dan santai selepas dijangkiti Covid-19, media mula buru kontak rapat Ronaldo

788

MEDIA antarabangsa mula membuat spekulasi serta memburu kontak rapat Cristiano Ronaldo selepas sah diuji positif Covid-19 semalam.

Situasi terkini itu menyebabkan bintang Portugal dan Juventus berkenaan terlepas perlawanan Liga Negara-Negara bersama Portugal minggu ini.

Meskipun disahkan positif Covid-19, Ronaldo tidak menunjukkan simptom serta dikatakan sihat dan bersantai biarpun tidak akan disenaraikan untuk pertemuan dengan Sweden awal pagi esok, menurut Persekutuan Bolasepak Portugal.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu beraksi ketika Portugal seri tanpa jaringan bertemu Perancis di Paris, Ahad lepas.

Antara yang dikatakan bersalaman dengan Ronaldo dalam perlawanan itu termasuklah bintang PSG, Kylian Mbappe sementara tonggak muda Perancis, Eduardo Camavinga juga berikrar enggan membasuh jersi Ronaldo selepas saling bertukar jersi dalam perlawanan itu biarpun Ronaldo telah disahkan positif Covid-19.

Antara kontak rapat Ronaldo termasuklah pemain bintang PSG, Kylian Mbappe yang turut pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.

Bagaimanapun menurut persekutuan berkenaan, selain Ronaldo, skuad Portugal semuanya negatif, begitu juga dengan skuad Perancis mengikut Persatuan Bolasepak Perancis.

Baca juga:   "Gara-gara Covid-19, kami terpaksa makan tikus dan ular sebab takde duit"

“Kami mengikuti semua langkah pencegahan… tetapi ia masih terjadi. Kami melakukan ujian setiap hari,” kata pengendali Portugal, Fernando Santos.

Rakan Ronaldo di Juventus, Giorgio Chiellini juga mengakui ada menghubungi Ronaldo.

“Dia baik-baik saja dan sedang berjemur, dia akan kembali apabila bersedia,” kata Chiellini.

Ronaldo sempat bergambar bersama rakan sepasukan Portugal beberapa jam sebelum disahkan positif Covid-19.

Ronaldo kini muncul antara pemain bola sepak berprofil tinggi dijangkiti Covid-19 yang telah membunuh lebih sejuta orang seluruh dunia sejak pandemik itu bermula awal tahun ini.

Selain Ronaldo, duo PSG yakni Mbappe dan Neymar serta penyerang berbisa AC Milan, Zlatan Ibrahimovic juga disahkan positif Covid-19 beberapa minggu lepas.

Penyerang berusia 35 tahun itu sudah menjaringkan 101 gol buat Portugal dan ketiadaan Ronaldo pastinya meninggalkan kesan besar dalam pasukan ketika Portugal mahu mengekalkan kedudukan di tempat teratas kumpulan aksi Liga Negara-Negara. – Agensi

Sumber: Harian Metro