Syafiq Ahmad kemalangan: anak dan ibu mertua maut, isteri cedera parah

PENYERANG skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire berwarna hitam itu, turut maut ibu mertua Syafiq, Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Sementara itu, Syafiq Ahmad yang juga penyerang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan manakala isteri beliau, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah.

Tiga maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire berwarna hitam di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang awal pagi tadi. – Gambar kredit: Kosmo!

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.36 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Sebaik sahaja tiba, katanya, sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam didapati remuk teruk selepas dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Terdapat enam mangsa iaitu tiga dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu. Pasukan bomba kemudian membuat kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!

Menurut beliau, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 6.10 pagi.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Tambah beliau, operasi yang dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap itu ditamatkan kira-kira pukul 6.12 pagi.

Difahamkan, isteri beliau berada di zon merah Hospital Seberang Jaya setelah dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataannya mengucapkan takziah kepada Syafiq dan berdoa supaya meringankan musibah Syafiq sekeluarga.

Sumber: Kosmo!

Most Popular