Syafiq Ahmad dipercayai terlelap – Polis

- Gambar kredit: Harian Metro

PEMAIN bola sepak skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, dipercayai terlelap sebelum Toyota Vellfire dipandunya hilang kawalan dan terbabas dalam kemalangan di Kilometer 163.6 berhampiran Plaza Tol Jawi, di Nibong Tebal, Pulau Pinang awal pagi semalam, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, siasatan mendapati punca kemalangan itu dipercayai akibat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan tertidur dan menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan.

“Gagal mengawal kenderaan menyebabkan pemandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbalik dan terseret berdasarkan kesan calar di jalan.

“Kejadian menyebabkan tiga penumpang iaitu bayi lelaki, ibu mentua dan pembantu rumah warga Indonesia maut di lokasi akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Chong Chern berkata, isteri kepada Muhammad Syafiq patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut, otak serta patah tulang paha kiri.

“Anak sulung mereka juga dipercayai mengalami pendarahan dalam otak yang mana kedua-dua ibu dan anak itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Muhammad Syafiq pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi semalam, Muhammad Syafiq yang memandu dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Norain, 25, yang sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut berada dalam kenderaan terbabit adalah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dua anak, Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari dan Aaira Nur Saffiyya, 2, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Jenazah Zainab dan Muhammad Aisy Saqeef selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, Pendang, Kedah selepas proses bedah siasat selesai di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB).

Jenazah pembantu rumah itu pula sudah dituntut Pegawai dari Konsulat Indonesia Cawangan Pulau Pinang yang mana ia akan dihantar pulang ke negaranya untuk dikebumikan.

NUR AMALINA melihat jenazah bayinya buat kali terakhir. – Gambar kredit: Harian Metro

Dalam perkembangan berkaitan, suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) apabila isteri pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad, iaitu Nur Amalina Norain diberi peluang mengucup anaknya buat kali terakhir.

Jenazah Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari yang terkorban dalam kemalangan tragis itu dibawa dari Hospital Sungai Bakap ke tempat rawatan ibunya di HSJ.

Sejurus jenazah tiba, Nur Amalina, 25, yang cedera dan dirawat di Wad 8 hospital itu dibawa turun dari wadnya dengan ditolak menggunakan katil ke bahagian Unit Forensik.

Nur Amalina kemudiannya diberi masa kira-kira 20 minit dan kelihatan wanita itu membelai dan mengucup bayinya beberapa kali.

Wanita itu turut diberi peluang menatap wajah ibunya Zainab Wahab, 45, yang turut terkorban dalam kemalangan tersebut.

Selain Muhammad Syafiq, 25, dan isterinya, anak sulung pasangan itu Aaira Nur Saffiya, 2, mengalami cedera ringan dan kini dirawat di wad kanak-kanak HSJ.

Muhammad Syafiq yang turut hadir ke HSJ dilihat tidak dapat mengawal perasaan dan berterusan menangis sambil ditenangkan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Pendang, Kedah untuk urusan pengebumian.

Terdahulu di Nibong Tebal, Muhammad Syafiq yang berada di perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap (HSB), dilihat menangis setiap kali didekati rakan dan saudara-mara malah dia enggan bercakap dengan sesiapa yang menghubunginya menerusi telefon kerana terlalu sedih.

Muhammad Syafiq berada di situ menunggu urusan bedah siasat anak bongsunya, Muhammad Aisy Saqeef serta ibu mentuanya, Zainab.

Suasana hiba dan sedih itu turut dikongsi adiknya, Muhammad Zulfadhli, 24, yang setia menemani abangnya itu dan beliau turut memaklumkan abangnya masih terkejut serta sukar menerima kejadian yang berlaku.

“Dia akan menangis setiap kali ada saudara mara atau kawan datang bertanyakan keadaannya selain enggan bercakap dan hanya menyebut nama anaknya sahaja…Aisy, Aisy,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Unit Forensik HSB.

Sementara itu, Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menzahirkan ucapan takziah kepada Muhammad Syafiq ketika hadir menziarahi pemain bola sepak kebangsaan itu di HSB.

“Beliau boleh mengambil berapa lama masa yang diperlukan untuk kembali pulih sama ada mental dan fizikal malah kami akan sentiasa memberi semangat dan sokongan. Kami semua mendoakan yang terbaik buatnya,” kata Cheng Hoe.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiada sebarang latihan yang dijadualkan buat Muhammad Syafiq ekoran pembatalan Piala Malaysia disebabkan pandemik Covid-19 sekarang ini.

Sumber: Harian Metro