Penyokong baling syiling hingga kena kepala Elanga, Leeds United bakal didakwa

LEEDS United bakal berdepan dakwaan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas pemain Manchester United dibaling objek oleh penyokong lawan di Elland Road dalam perlawanan malam tadi.

Penyokong Leeds didakwa membaling objek ketika United meraikan gol pertama dan ketiga pada aksi United menang 4-2 dengan pemain gantian, Anthony Elanga diberikan rawatan kerana kecederaan di kepala lapor Berita Harian.

FA dikatakan hampir pasti akan menyiasat selepas pengadil, Paul Tierney mengemukakan laporan perlawanan itu manakala pengurus sementara United, Ralf Rangnick mendakwa Leeds juga akan menyiasat perkara itu.

“Jelas perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku,” kata Rangnick.

Pemain kelahiran Sweden itu dibawa masuk oleh Rangnick hanya tiga minit sebelum insiden berkenaan berlaku.

Bercakap mengenai insiden itu di Sky Sports News, bekas penjaga gol, Paul Robinson berkata. “Kejadian buruk selepas gol itu.

“Saya rasa Anthony Elanga terkena syiling, kecederaan agak teruk di kepala. Satu lagi insiden teruk dapat kita lihat.” jelasnya.

Dalam pada itu, Elanga, 19 tahun turut memuat naik satu posting di laman Instagram miliknya dengan kapsyen yang seakan-akan menegaskan tiada apa yang dapat mengugatnya daripada bermain degan baik biarpun menerima provokasi daripada pihak lawan.

Sumber: Berita Harian