Pemandu van maut, empat termasuk pemain badminton Kento Momota cedera ringan

Van yang dinaiki pemain badminton itu terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya MEX awal pagi ini. - Foto JBPM

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu van maut manakala empat lagi cedera dalam perlanggaran membabitkan sebuah van dan lori di Km13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) awal pagi ini. 

Kemalangan melibatkan pemain badminton nombor satu dunia Kento Momota, 26 tahun, dan tiga pegawai sukan dari Persatuan Badminton Jepun (Japan BA) dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi, van dipandu Bavan a/l Nageswarau yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Norazam Khamis dipetik Bernama berkata, pemandu van yang tersepit itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala keempat-empat penumpang cedera ringan

Selain Momota, mereka yang cedera ialah Wiliam Thomas, 30 tahun, Pegawai Teknikal BWF, Hirayama Yu, 35 tahun, Pembantu Jurulatih Japan BA dan Morimoto Akifumi, 42 tahun, Pegawai Fisioterapi Japan BA. 

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.57 pagi.

Semalam, Momota daripada Jepun muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2020 selepas menewaskan Viktor Axelsen daripada Denmark di Axiata Arena, di sini.

Berita dan butiran lanjut akan menyusul.