Home Berita Semasa Sukan Man United, Liverpool ‘sama je’, dua-dua ‘check in gua’ bersama

Man United, Liverpool ‘sama je’, dua-dua ‘check in gua’ bersama

SEGALA-GALANYA serba tidak menjadi buat dua kelab berpengaruh di Liga Perdana England (EPL), Manchester United dan Liverpool mengalami nasib yang sama apabila dibelasah lawan masing-masing pada aksi awal pagi tadi.

Tottenham Hotspur menggunakan kesempatan layangan kad merah ke atas Anthony Martial pada separuh masa pertama untuk membelasah United, 6-1 tatkala Jose Mourinho menikmati hari penuh indah ketika kembali semula ke Old Trafford.

Son Heung Min dan Harry Kane kedua-duanya meledak dua gol selepas benteng United dilihat sangat kucar-kacir sebelum Martial dikenakan hukuman lagi akibat mengasari Erik Lamela.

Selang beberapa jam kemudian, Liverpool pula menerima padah apabila permulaan cemerlang 100 peratus mereka di EPL musim ini dicacatkan dengan ledakan hatrik Ollie Watkins untuk membantu Aston Villa membelasah penyandang juara liga itu 7-2.

Percubaan yang membias oleh John McGinn, Ross Barkley dan Jack Grealish membuatkan anak buah Jurgen Klopp tidak dapat melupakan mimpi ngeri itu sebelum Grealish melengkapkan jaringan ketujuh.

Liverpool turut berdepan skrip memalukan apabila dibelasah Aston Villa 2-7.

Kedua-dua bekas pemain Manchester United, Gary Neville dan Patrice Evra berang dengan kekalahan memalukan itu.

“Saya macam tidak percaya melihat di mana kita berada sekarang. Tidak ada alasan buat semua pemain di atas padang kerana mereka sangat menyedihkan. Mereka tidak mampu bangkit pada separuh masa kedua,” kata Neville kepada Sky Sports.

“Pastikan anda sedar bahawa anda sudah memalukan pasukan. Lihat di cermin dan secara jujurnya berkata, anda sangat memalukan,” kata Evra.

Pemain United, Luke Shaw juga memberi penilaian yang memalukan, sebagai pertahanan dia mengakui pasukannya seakan sudah menyerah kalah.

United menanggung kekalahan besar di Old Trafford sejak 2011 dan Shaw tidak ragu-ragu untuk bertanggungjawab di atas kejadian paling kejam itu.

“Manchester United tidak boleh kalah seperti ini. Ia sangat menyakitkan, memalukan dan kami membuatkan ramai orang kecewa. Kami juga membenarkan diri kami dan staf berasa kecewa,” kata Shaw.

Martial diperintahkan keluar padang ketika Manchester United dibelasah Spurs 1-6 dalam aksi EPL awal pagi tadi.

Buat kali pertama sejak 1986, United tewas dalam dua perlawanan pembukaan di gelanggang sendiri.

Ini juga buat kali ketiga dalam era EPL mereka melepaskan enam gol.

Menambah lagi kepedihan di atas luka berkenaan ialah mereka kalah di tangan bekas jurulatih, Jose Mourinho, yang dipecat pada 2018.

Dalam pada itu, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp juga menyifatkan kekalahan besar itu tidak sepatutnya berlaku.

“Boleh dikatakan, semua pemain membuat kesilapan yang tidak sepatutnya di atas padang,” kata Klopp.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version