Kerajaan Negeri Terengganu kecewa kejadian ‘gocoh’ ala kung fu

KERAJAAN negeri kesal dengan insiden pergaduhan antara pemain Terengganu FC II (TFC II) dengan Penang FC pada pertemuan terakhir saingan Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah seperti yang tular malam Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insiden memalukan itu tidak sepatutnya berlaku dan ia boleh dielakkan jika pemain kedua-dua pasukan mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi dan bijak mengawal emosi.

“Saya melahirkan kekecewaan dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku ini, jika pemain kedua-dua pasukan bijak mengawal emosi dan mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi, pergaduhan yang tercetus itu pasti boleh dielakkan.

“Kita harapkan insiden seperti ini tidak lagi berulang dalam pertandingan yang akan datang kerana matlamat kejohanan ini bukan sahaja untuk menilai kelemahan dan kekuatan sesebuah pasukan untuk tujuan penambahbaikan sebelum Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya awal Mac depan, tapi yang penting untuk menaikkan taraf bola sepak dan melahirkan ramai bakat yang lebih hebat,” katanya kepada Berita Harian.

Dalam kejohanan empat penjuru yang turut disertai tiga pasukan Liga Super iaitu Sri Pahang FC, Penang FC selain pasukan Terengganu FC (TFC), skuad TFC II bimbingan jurulatih Badrul Afzan Razali yang bakal beraksi dalam pentas Liga Perdana muncul juara edisi kedua itu selepas menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil dua kemenangan.

Bagaimanapun kejayaan itu dicemari dengan insiden ‘panas’ yang bermula pada minit ke-45 dengan aksi tumbukan, sepakan ala kungfu serta kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan pemain TFC II, Ridzuan Razali berbalut di kepala kerana mengalami kecederaan manakala pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra`op mengalami pendarahan pada bahagian hidung.

Bagaimanapun punca insiden tidak dapat dipastikan, namun ia berlaku ketika pemain kedua-dua pasukan ‘berkampung’ dalam kawasan pintu gol tuan rumah selepas sepakan penalti yang diambil kapten Penang FC, Endrick Dos Santos berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad, ketika itu TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30.

Selepas pergaduhan itu, perlawanan terhenti selama 45 minit sebelum pengadil perlawanan, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin memberikan kemenangan kepada pasukan TFC II selepas skuad bimbingan Tomas Trucha enggan meneruskan perlawanan.

Sumber: Berita Harian