Kemelut Lee Zii Jia akan selesai dalam masa terdekat – Faizal Azumu

KONTROVERSI mengenai pemain badminton negara, Lee Zii Jia akan cuba diselesaikan dalam tempoh terdekat menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ujarnya, permasalahan itu juga perlu mengambil kira soal kepentingan negara terhadap sukan tersebut dalam usaha menyelesaikan segala konflik yang timbul.

“Saya juga bercakap dengan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, memang kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama,” katanya selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan beliau bersama jaguh badminton negara itu, Ahmad Faizal menyatakan wujud alasan yang berbeza terhadap keputusan untuk keluar daripada BAM.

“Saya dengar dan percaya BAM juga akan mendengar apa sahaja yang mereka bawa, jadi kita doakan yang baik-baik. Perkara lain yang kita bincangkan (semalam), amat tidak manis untuk saya kongsikan kepada orang ramai, kerana jika ada pun lebih sebagai nasihat saya, umpama nasihat seorang abang kepada adik.

“Jadi saya harap perkara itu dihormati. Apa jua masalah dapat diselesaikan dan ada solusi terbaik jika kepentingan peribadi, kumpulan, dapat dikorbankan demi kepentingan negara.

“Itu yang saya sampaikan kepada mereka berdua, dan saya nampak mereka faham perkara itu. Saya juga mendoakan agar perjumpaan Zii Jia dengan kepimpinan BAM hari ini, akan mencapai solusi terbaik,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan ini.

Tindakan itu susulan keputusan Zii Jia yang membuat keputusan untuk keluar daripada BAM selepas mendakwa agak tertekan dengan gaya hidup BAM.

Selain itu Zii Jia, Goh Jin Wei turut mengikut rentak sama apabila mula bergerak sebagai pemain profesional.

BAM malah turut mengenakan tindakan terhadapnya apabila tidak dibenarkan mengikuti acara kejohanan selama dua tahun bermula 31 Okt 2021.