Cubaan promosi ‘iklan’ murahan gagal selepas dihalang pengawal keselamatan

PERLAWANAN antara Belgium dan Finland dikejutkan dengan insiden seorang wanita memasuki padang yang cuba melakukan aksi ‘iklan murahan’ pelaburan mata wang kripto.

Wanita tersebut dilihat berlari memasuki padang dengan memakai baju yang bertulis ‘WTF coin’, walau bagaimanapun tindakannya pantas dihalang oleh pihak pengawal keselamatan.

Baju yang dipakai wanita itu turut tertera tulisan sebuah laman sesawang untuk pesaing Bitcoin, WTF Coin.

Sebilangan matawang digital semakin berkembang dan orang ramai boleh memperdagangkannya sama seperti saham sejak kebelakangan ini.

Namun, insiden itu sama sekali tidak mengganggu kualiti permainan bola sepak berkenaan dan menyaksikan Belgium menamatkan saingan Kumpulan B selaku juara selepas menewaskan Finland 2-0.

Dengan berbaki 15 minit terakhir menyaksikan penjaga gol Finland, Lukas Hradecky menjaringkan gol sendiri, sebelum Romelu Lukaku menjamin kemenangan buat pasukan kendalian Roberto Martinez pada minit ke-81.

Dalam pada itu, perlawanan antara Russia dan Denmark turut ‘diceroboh’ selepas seorang lelaki yang memakai jersi Russia memasuki padang, namun gagal selepas dikesan pengawal keselamatan.

Sumber: Berita Harian