Beregu negara bawa pulang gangsa, tangisan kemenangan buat Malaysia

Foto: Majlis Sukan Negara Malaysia

MALAYSIA akhirnya berjaya membawa pulang pingat gangsa menerusi beregu lelaki di Musashino Forest Sports Plaza sebentar tadi.

Perlawanan berakhir dengan penuh emosi apabila pemain negara menitiskan air mata sejurus berjaya menewaskan jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Perlawanan masih kelihatan sengit apabila terpaksa bertarung sehingga set ketiga sebelum Malaysia akhirnya berjaya mengikat kemenangan.

Gandingan mantap Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sekaligus menyingkirkan pasangan Indonesia itu dengan kutipan mata 17-21, 21-17 dan 21-14.

Meskipun tewas di tangan China semalam namun apa yang jelas, itu bukan alasan untuk mereka tidak berjuang bagi mendapatkan gangsa.

Naib Juara Kejohanan Seluruh England (All England) 2019 itu gagal untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas dikecewakan beregu China, Li Junhui-Liu Yuchen pada aksi separuh akhir semalam.