Barcelona Tolak Bidaan RM480 Juta Manchester United Untuk Ansu Fati

BARCELONA, SPAIN - February 15: Ansu Fati #31 of Barcelona during the Barcelona V Getafe, La Liga regular season match at Estadio Camp Nou on February 15th 2020 in Barcelona, Spain. (Photo by Tim Clayton/Corbis via Getty Images)

Barcelona mendedahkan kelab yang cuba untuk membida pemain muda sensasi mereka, Ansu Fati dengan tawaran €100 juta adalah Manchester United.

Menurut sumber dari 90.min, kelab La Liga itu menolak tawaran lumayan tersebut sungguhpun pasukan itu terdesak untuk mendapatkan wang tunai untuk dibelanjakan apabila jendela perpindahan dibuka tidak lama lagi.

Dengan beberapa pemain dijangka akan meninggalkan Nou Camp pada musim panas ini, Kelab Catalan itu menegaskan Fati tidak akan menjadi salah satu daripadanya.

The Red Devils dikatakan mengubah haluan mereka untuk mendapatkan pemain berusia 17 tahun itu selepas usaha untuk membawa penyerang Borussia Dortmund, Jadon Sancho ke Old Trafford dilihat semakin sukar.

Dortmund pula masih mahu terus mengekalkan Sancho dan bersedia untuk menawarkan kontrak baharu dengan gaji dua kali ganda bagi memastikan pemain berusia 20 tahun itu terus kekal untuk membentuk gandingan dengan penyerang baharu mereka, Erling Haaland.

Oleh sebab itulah United cuba untuk mendapatkan Ansu Fati dengan menghubungi Barca melalui ejen, Jorge Mendes bagi mendapatkan sebut harga dan diminta untuk membayar klausa pelepasan bernilai €170 juta (RM817 juta).

United kemudian menawarkan harga €100 juta yang dianggap lebih ‘berpatutan’, bagaimanapun ia ditolak oleh Presiden Barcelona, Josep Bartomeu yang melihat penyerang muda itu sebagai prospek untuk masa depan kelab.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer memang diketahui sedang mencari seorang pemain di bahagian serangan dengan beberapa calon lain juga sedang dipertimbangkan. Antaranya adalah pemain muda Birmingham City, Jude Billingham, pemain sayap Anton Villa, Jack Grealish dan pemain tengah Leicester City, James Maddison.