Home Berita Semasa Suami sempat pecahkan cermin kereta, selamatkan isteri sebelum hanyut dibawa arus deras...

Suami sempat pecahkan cermin kereta, selamatkan isteri sebelum hanyut dibawa arus deras banjir

SEORANG lelaki yang hanyut bersama kenderaannya di Kluang, Johor jam 8 malam kelmarin sempat memecahkan cermin kereta Proton Waja yang dinaiki untuk menyelamatkan isterinya, sebelum wanita itu diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, mangsa Md Rajihan Junaidi, 28 gagal diselamatkan apabila dia yang masih berada dalam kereta, dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata laporan kejadian dibuat isteri mangsa, Khairunnisa Ibrahim, 24, jam 5.30 pagi tadi di Balai Polis Kahang.

Menurut laporan itu, mereka suami isteri dalam perjalanan dari Mersing menuju ke bandar Kluang.

“Ketika sampai di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang kira-kira 5.30 petang semalam, pasangan itu dikatakan meredah laluan yang dinaiki air.

“Tiba di pertengahan jalan, kereta yang dinaiki tiba-tiba dibawa arus deras ke bahagian kanan jalan menyebabkan mangsa bertindak memecahkan cermin kereta bagi menyelamatkan isterinya,” katanya dalam kenyataan kepada media seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurut Hang Seng, usaha mencari dan menyelamat dibuat sejak malam tadi namun masih gagal menemui mangsa.

Md. Rajihan dipercayai hanyut bersama kenderaannya di Batu 18 Jalan Kluang-Kahang, jam 8 malam kelmarin selepas menyelamatkan isterinya sewaktu mereka cuba melalui jalan berkenaan.

Sehingga malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat tidak menemui Md Rajihan yang dilaporkan hanyut bersama-sama kereta, walaupun kenderaannya dinaikkan dari kawasan banjir petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, hanya kereta yang ditemui dan operasi ditangguhkan petang semalam.

Sumber: Berita Harian

Exit mobile version