Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan dan risikan membabitkan kes serangan simbah asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya tidak pernah menamatkan siasatan walaupun tiada perkembangan terbaharu.
“Dengan segala komitmen yang dilakukan pegawai saya, kita tidak pernah berhenti mencuba. Perkembangan mungkin tidak seperti mana yang kita harapkan, buat masa ini kita bergantung kepada risikan.
“Bila kita merisik kita berhubung dengan dark side of society orang yang melakukan perkara sedemikian, kalau kita beri perkembangan bermaksud memberikan mereka ‘cahaya terang’,” katanya dipetik.
Mohd Shuhaily berkata begitu dalam satu sidang media bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru pada Selasa.
Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim yang juga tonggak skuad Harimau Malaya disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan dan terpaksa melalui beberapa siri pembedahan.
Pada bulan lalu, Peguam Selangor FC, Haijan Omar dilaporkan mendedahkan anak guamnya, Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya tidak dimaklumkan perkembangan siasatan kes simbah asid yang berlaku pada 5 Mei lalu.
Namun begitu, pihaknya yakin polis sedang melakukan siasatan secara profesional dalam usaha mengheret pelaku ke muka pengadilan