Shiha tak rasa ralat

    SHIHA Zikir, 32, bukanlah nama asing dalam industri hiburan tanah air. Bahkan, namanya turut menjadi sebutan di negara seberang Indonesia selepas terbabit dalam program Dangdut Academy Asia 2015.

    Penyanyi ini juga cukup terkenal antara yang kerap memasuki pelbagai program realiti baik berunsur nyanyian mahupun lawak. Sekali gus, namanya terus relevan dalam industri meski belum sehebat penyanyi lain.

    Mengakui perkara itu, Shiha berkata, matlamatnya tiada lain untuk terus menimba ilmu untuk bergelar anak seni berkualiti. Baginya, setiap ilmu yang ditimba daripada program disertainya cukup berharga.

    “Kalau ikutkan, pertandingan yang betul-betul menaikkan saya dalam industri pun sewaktu menyertai Mentor tidak lama dulu. Itu memang pencapaian yang manis apatah lagi saya lama mengidam berguru dengan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

     

    “Kemudian barulah menyusul pula dengan pertandingan lain selepas bergelar artis. Bagaimanapun, saya ada alasan tersendiri untuk memasuki pertandingan itu yang mana bukan saja menimba ilmu tapi disebabkan saya seronok menyertainya.

    “Saya bukan suka-suka tapi ada misi tertentu saya ingin capai dalam setiap pertandingan itu. Disebabkan itu, saya takkan lelah bekerja keras dan berusaha untuk terus mencari ruang bagi menaikkan lagi nama saya,” katanya.

     

     

    Apapun, Shiha tidak pernah berasa ralat tatkala masih tercari pencapaian yang cukup besar sebagai penyanyi. Hakikatnya, setiap tenaga dicurahkan dalam karier seni sekarang baginya amat berbaloi.

    “Saya mengabdikan diri dalam bidang seni sejak awal dulu disebabkan inilah kerjaya yang paling saya cintai dan seronok lakukan setiap saat. Jika saya mahu jadi artis semata-mata demi populariti, rasanya 10 tahun lalu saya sudah berhenti disebabkan nama sukar naik.

    “Tapi, itulah, saya tidak pernah berasa rezeki saya salah alamat dalam bidang ini. Sehingga kini, tidak terdetik pun sekelumit rasa mengalah sebaliknya setiap hari saya ingin terus menyumbang dalam bidang seni,” katanya.

    Lumrah anak seni, Shiha juga tidak pernah berhenti mengimpikan untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu hari nanti. Menurutnya, itulah antara pertandingan yang disasarkan selepas ini.

    “Selepas dua kali dapat masuk peringkat separuh akhir Muzik Muzik, sudah semestinya saya mengidamkan pula untuk memijak pentas AJL. Saya percaya masa itu akan tiba juga suatu hari nanti dan pasti ada rezeki.

    “Saya cukup bertuah setakat ini lagu yang saya dapat semuanya hasil tangan komposer bukan calang-calang. Apapun, saya berharap akan ada lagu yang benar-benar menjadi karya agung buat saya selepas ini,” katanya.

    Dalam pada itu, Shiha turut berkongsi kegembiraan mengenai kejayaan lagu Moh Beraya yang secara tiba-tiba meledak. Banyak hal yang disyukurinya dengan peluang terbabit dalam pembikinan lagu itu.

    Bahkan, keraguannya turut terlerai mengenai nasib lagu itu selepas berdepan situasi pandemik Covid-19. Menurutnya, dia melihat hikmah daripada dugaan ini menerusi kejayaan lagu itu.

    “Pertama, saya memang sangat bersyukur dapat bergandingan dengan Datuk Jamal Abdillah serta Peja & Friends yang sebenarnya turut dianggotai Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu. Beliau sendiri yang jemput saya menyanyi dalam lagu ini.

    “Cuma, sepatutnya penggambaran muzik video lagu ini dibuat sewaktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perancangan awalnya nak buat sekitar tempat menarik di Perak.

    “Bagaimanapun, PKP dikuatkuasakan pula. Tapi, pihak beliau tampil dengan idea tersendiri untuk buat muzik video animasi dan tidak sangka ia mendapat sambutan yang luar biasa di YouTube,” katanya.

    Lagu Moh Raya adalah hasil ciptaan Harry Khalifah, lirik oleh Ajim Maze. Karya itu dihasilkan dengan kerjasama Tona Records Entertainment dan Todak Music.

    Berkongsi mengenai projek akan datang, Shiha kini teruja untuk melancarkan lagu terbaharu hasil ciptaan Ezra Kong. Apa yang pasti, lagu terbabit lari daripada kebiasaan muzik yang dibawakan sebelum ini.

    “Selepas menyertai program Dansa Dan Sing, saya terus rakamkan lagu ini yang berentak rancak dan ada elemen tarian. Inilah masanya saya cuba untuk menyerlahkan sisi lain pula selepas pernah menghasilkan lagu balada dan dangdut.

    “Saya memang sangat teruja dengan lagu ini yang sepatutnya dilancarkan sebelum puasa. Untuk lagu ini, saya bekerjasama dengan Noki K-Clique dan turut membawa sekali Team Squad sebagai penari saya,” katanya.

     

    Credit : HM