Seorang lelaki berdepan dakwaan bunuh, pandu lawan arus di Lebuhraya Persekutuan

SEORANG pegawai pemasaran berdepan dakwaan membunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini berikutan memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua orang remaja.

Kejadian itu berlaku di kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan pada 12 September lalu.

Tertuduh, K. Devaaswin, 24 tahun hanya mengangguk kepala sebagai tanda faham sebaik sahaja pendakwaan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fiazah Abdul Sani.

Ketika prosiding berlangsung, tiada sebarang rekod pengakuan dibuat kerana kes pembunuhan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia dikatakan telah menyebabkan kematian Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19 tahun dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18 tahun dalam insiden lawan arus berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 1.50 pagi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu tiada sebarang jaminan dikemukakan selain mahkamah menetapkan tarikh 21 Oktober depan sebagai sebutan semula kes sementara menantikan laporan bedah siasat.