Selamat tinggal Bayern – Thiago

ARKITEK baharu Liverpool, Thiago Alcantara akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Bayern Munich selepas sah menandatangani kontrak bersama The Reds musim ini.

Thiago bakal menabur jasa di bumi Anfield selama empat musim dengan yuran perpindahan 27 juta pound (RM144.88 juta).

“Ini keputusan yang paling susah aku nak buat sepanjang hidup aku.

“Segala susah senang dan kejayaan demi kejayaan bersama Bayern takkan aku lupa sampai bila-bila. Tujuh tahun bukan sekejap tau.

“Tapi aku bangga sebab masa aku sampai kat sini, aku masih lagi budak-budak yang memiliki impian yang cukup besar.

“Selamat tinggal Bayern. Mia San Mia (kita adalah diri kita yang sebenar),” kata Thiago.

Thiago mengikat kontrak selama empat musim bersama Liverpool.

Di bawah tunjuk ajar Jurgen Klopp, Thiago akan kekal menyarung nombor jersi kegemarannya, nombor 6 yang sebelum ini milik Dejan Lovren yang telah berhijrah ke Zenit St Petersburg.

Thiago merupakan pemain kedua yang dibeli Klopp musim ini selepas berjaya mendapatkan bek kiri, Kostas Tsimikas.

Dia bagaimanapun tidak sempat untuk diturunkan Klopp ketika berkunjung ke Stamford Bridge berdepan Chelsea dalam aksi Liga Perdana England Ahad ini dan hanya membuat debut berdepan Lincon City dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga minggu depan.

Pemain tengah Sepanyol itu menjadi tumpuan The Reds sepanjang musim panas, namun pihak pengurusan Liverpool tidak bersetuju de­ngan harga awal yang ditetapkan Bayern sebelum ini.

Kehadiran Thiago dilihat menjadi pemangkin kepada ­Liverpool dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu antara watak penting buat Bayern merangkul kejuaraan treble musim lalu dan disebut-sebut sebagai pemain tengah terbaik dunia ketika ini.

Sebelum ini, masa depan Thiago bersama Bayern hangat diperkatakan peminat The Bavarians kerana cuma memiliki baki kontrak kurang setahun sekali gus bakal menjadi pemain ejen bebas musim depan. – Agensi

Sumber: Utusan