“Saya yakin tidak bersalah, ini semua rancangan – Ebit Lew

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew yakin pihaknya tidak bersalah selain menganggap segala tuduhan terhadapnya merupakan ujian Allah.

Itu antara luahan Ebit Lew selepas berdepan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual di Mahkamah Tenom, Sabah hari ini.

Selain itu, beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai tuduhan yang tidak berasas dan melampau dengan tujuan menjejaskan nama baiknya.

Pihaknya berpendapat ia didalangi kumpulan tertentu yang berhasrat untuk beliau menghentikan segala kerja amal. “Ujian ini memang saya rasa berat dari dulu lagi. Jangan bersedih… saya bersyukur dengan ujian ini. Mudah-mudahan menjadi kebaikan untuk di akhirat,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, pendakwah bebas yabg berusia 37 tahun itu menyerahkan kepada pihak peguam untuk mengendalikan kes berkenaan.

Terdahulu, Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan terhadapnya termasuk gangguan seksual di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan turut mengesahkan pertuduhan tersebut terhadap Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew.