“Saya juga ada masalah peribadi” – Hannah Delisha bersuara isu perkahwinan & masalah keluarga

PELAKON manis kelahiran Singapura, Hanna Delisha akhirnya bersuara bagi menjelaskan pelbagai persoalan berkenaan perkahwinan dan masalah keluarga yang sedang hangat diperkatakan ramai pihak.

Melalui satu posting di Instastory pada malam Rabu, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, dia juga hanya seorang manusia tidak dapat lari daripada berdepan masalah peribadi.

“Minta maaf di atas segala perhatian yang tidak diingini terhadap saya pada ketika ini.

“Ya, sama seperti anda saya pun mempunyai masalah peribadi. Saya mohon maaf yang ia sudah sampai ke pengetahuan umum,” tulis Hannah.

Hannah dikatakan sudah bernikah pada Februari 2020.

Kecoh sejak awal minggu ini apabila timbul dakwaan kurang enak setelah perkahwinannya dengan pelakon Imam Shah didakwa tidak mendapat restu ibu Hannah iaitu Noor Asyikin Ahmad.

Lalu timbul pula dakwaan kononnya dia menyembunyikan perkahwinan yang dikatakan sudah pun berlangsung pada Februari 2020 iaitu setahun lebih awal daripada tarikh Hannah berkongsi foto majlis pernikahan bertarikh 18 Februari 2021 lalu.

Keadaan bertambah keruh apabila apabila ibu mentua Hannah iaitu Mariana Yati mendakwa menantunya itu berdepan masalah dengan ibu kandungnya sejak sekian lama.

Dalam kenyataan sama melalui Instastory tersebut, Hannah jua berkata dia sebolehnya enggan terlalu terbuka mengenai kisah peribadi kepada umum.

“Sejak saya menceburi bidang ini, tujuan saya hanyalah untuk menghiburkan anda semua menerusi kerja dan bukan mengenai kehidupan peribadi.

“Saya cuba sedaya upaya untuk menghindarkan diri daripada terpalit dengan sebarang gosip dan serta mengharumkan nama negara saya.

“Saya harap tujuan dan niat asal saya itu dapat diteruskan seperti yang dirancang daripada awal. InsyaAllah,” tulisnya lagi.

Sementara itu, Hannah, 25, juga memohon maaf jika kisah peribadinya kini menimbulkan rasa kurang senang peminat dan segelintir pihak.

Dia juga meminta orang ramai mendoakan yang terbaik dan memberi ruang privasi kepadanya ketika saat sukar ini.

“Sekali lagi saya mohon maaf di atas berita kurang menyenangkan mengenai saya dan keluarga. Anda seharusnya diberikan perkara yang lebih baik berbanding isu ini.

“Apa yang saya harapkan ialah doa anda semua dan saya diberikan privasi dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya Hannah lagi.