Rosmah bebas dan lepas daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan dan melepaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7 juta, serta 5 tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K. Muniandy memutuskan untuk membatalkan semua tuduhan terhadap Rosmah setelah membenarkan permohonan beliau untuk mengetepikan tuduhan tersebut.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan bahawa tuduhan-tuduhan itu cacat dan gagal mengemukakan elemen-elemen penting kesalahan yang didakwa.

Rosmah, 73, mengemukakan permohonan untuk membatalkan tuduhan-tuduhan itu pada September 2023.

Perbicaraan bermula pada 12 Disember 2023, selepas beberapa prosiding awal di mana dua saksi telah memberi keterangan.

Dalam penghakimannya, Hakim Muniandy menyatakan bahawa tuduhan terhadap Rosmah gagal untuk memperincikan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil haram, serta tidak menjelaskan jenis transaksi atau bagaimana Rosmah terlibat secara langsung.

“Tuduhan-tuduhan itu tidak mendedahkan elemen-elemen utama dalam kesalahan pengubahan wang haram, termasuk transaksi yang melibatkan pengubahan wang, tingkah laku tertuduh, dan wang yang dirujuk dalam tuduhan tersebut. Selain itu, tuduhan tersebut tidak memperlihatkan transaksi sebagaimana yang dijelaskan dalam Akta 613 Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001,” katanya.

Hakim itu menambah, tanpa elemen-elemen tersebut, tuduhan-tuduhan itu hanya menggambarkan tindakan mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun bank, yang tidak merupakan kesalahan menurut undang-undang.

“Sebahagian tuduhan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bertindih kerana tarikh dan jumlah yang dinyatakan adalah serupa, tetapi kesalahan yang didakwa masih berkaitan dengan pengubahan wang haram, yang mana ia harus datang daripada kesalahan yang serius atau kesalahan asas, yang membentuk aktiviti haram, jadi tiada hasil yang dibersihkan,” jelasnya.