Rombongan Agong, Raja Permaisuri Bergerak Ke Kundasang Dan Telupid Hari Ini

Kota Kinabalu: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diteruskan ke kawasan tengah Sabah, hari ini.

Baginda berdua dijadual tiba di daerah Telupid pada tengah hari, sebelum meneruskan perjalanan ke arah barat dan dijangka tiba di daerah Ranau pada petang, sebelum menamatkan kembara hari ketiga di kawasan tanah tinggi Kundasang, malam nanti.

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah yang bermalam di bandar Sandakan selepas menempuh perjalanan lebih 300 kilometer (km) dari Tawau, semalam, dijadual menghadiri beberapa acara di Sandakan dan Beluran, pagi ini.

Destinasi pertama kembara baginda berdua dan rombongan hari ini ialah lawatan ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sandakan pada 9 pagi, sebelum ke tapak projek Pakej Kerja 29 (WP29) Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Beluran untuk mendengar taklimat Kementerian Kerja Raya berhubung pelaksanaan projek itu.

Di Sepilok, selain melawat kawasan sekitar Pusat Pemuliharaan Orang Utan, baginda berdua turut dijadual menandatangani plak dan menamakan anak orang utan yang ditempatkan di pusat berkenaan.

Selesai kedua-dua program berkenaan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah secara rasmi menamatkan Kembara Kenali Borneo di kawasan pantai timur Sabah yang bermula dari Tawau ke Lahad Datu hingga ke Sandakan.

Kembara seterusnya menghala ke tengah Sabah dengan persinggahan pertama ialah Telupid, di mana baginda berdua dijadual menghadiri Majlis Santapan Bersama Masyarakat di Institut Perhutanan Sabah, Telupid, pada tengah hari.

Pada petang, baginda berdua kemudian meneruskan perjalanan ke daerah Ranau sejauh kira-kira 100 km dan dijadual singgah di Tagal Sungai Moroli, Ranau yang terkenal sebagai destinasi spa ikan kira-kira 4 petang.

Sejurus selesai program di destinasi berkenaan, Kembara Kenali Borneo diteruskan ke pekan Ranau sebelum berakhir di Rajah Lodge, Taman Kinabalu, di Kundasang, di mana Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual menginap di situ, malam nanti.

Malam nanti juga, baginda berdua dijadual menghadiri program bersama masyarakat setempat di Pentas Budaya Pekan Kundasang untuk bertemu dengan penduduk Kundasang yang majoritinya adalah masyarakat Kadazandusun.

Kundasang menjadi destinasi akhir hari ketiga Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, hari ini, dengan jarak perjalanan kira-kira 230 km dari Sandakan.

Hari keempat iaitu esok, baginda berdua menuju ke bandar raya Kota Kinabalu bagi memulakan kembara di pantai barat Sabah pula dengan perhentian pertama di Pekan Nabalu, Kota Belud.

Sumber: Kosmo