KELANTAN United Football Club (KUFC) mengambil keputusan untuk merehatkan seorang pemainnya yang terpalit dengan tuduhan rogol seorang remaja bawah umur.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Operasinya, Wan Mohd Zul Ikman berkata, pemain itu telah direhatkan daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Perdana untuk satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, KUFC sedia maklum berhubung dakwaan tersebut dan mengesahkan pemain yang dimaksudkan bermain untuk pasukan mereka.
“Bagaimanapun pasukan tetap berpegang pada prinsip seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
“Maka, setelah berjaya dibuktikan, satu tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak,” katanya kepada Berita Harian pada Isnin.

Jelas Wan Mohd lagi, pihaknya memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dan menunggu laporan penuh kes yang didakwa terhadap pemain terbabit.
Tambahjnya, pasukan KUFC tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak di dalam kelab.
Malah, mereka sentiasa mendukung undang-undang negara.
Terdahulu, seorang pemain bola sepak Kelantan berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 18 tahun.
Pemain itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) 29 Mei lalu selepas mangsa yang juga peniaga pakaian dan tudung membuat laporan polis.
Dia direman empat hari sehingga 2 Jun dan disambung reman sehari hingga 3 Jun lalu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian