Rina Harun disahkan positif Covid-19

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun telah disahkan positif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan malam tadi.

Beliau menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya pagi semalam.

Mengikut kenyataan Pejabat Menteri KPWKM, Rina telah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11.00 pagi hari ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut dan akan mematuhi segala garis panduan berkaitan jangkitan Covid-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau memohon maaf jika perkara ini telah menimbulkan apa jua kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar Allah S.W.T. mempermudahkan segala urusan untuk semua yang terlibat.

Beliau juga akan pastikan, semasa ketiadaan beliau, KPWKM akan meneruskan kerja-kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan untuk kumpulan sasar dan segala urusan pengoperasian Kementerian akan tetap berjalan seperti biasa.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed juga disahkan positif Covid-19. – TheNewsMalaysia