Remaja 14 tahun derita dirogol bapa saudara sejak tahun lalu

SEORANG remaja perempuan berdepan derita apabila dikatakan dirogol bapa saudaranya sendiri sejak Mac hingga Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, perbuatan keji itu dilakukan secara paksa setiap kali ketiadaan ibu mangsa di rumah mereka di Sea Park Petaling Jaya.

“Suspek sering bertindak merogol mangsa secara paksa apabila ibu mangsa tiada di rumah atau ketika adik beradik mereka sedang tidur.

“Mangsa kini telah mendapat perlindungan di Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, pihaknya menerima laporan pada 11 Februari lalu sekitar jam 12.51 tengah hari.

Mangsa difahamkan telah diugut agar tidak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis menyebabkan laporan awal tidak dibuat.

Polis dengan tindakan pantas bagaimanapun telah berjaya menahan suspek berusia 41 tahun itu pada hari yang sama laporan dibuat.

Hasil semakan rekod bagaimanapun tidak menemui sebarang rekod jenayah terhadap suspek.

Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana kelakuan sumbang mahram.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.