SERAMAI enam individu termasuk dua pegawai penguat kuasa kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat rasuah bagi meluluskan ujian memandu kelas Kenderaan Perdagangan (GDL).
SPRM menerusi satu kenyataan hari ini menyatakan, perbuatan itu dilakukan membabitkan institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan.
“Selain dua pegawai penguat kuasa tersebut, empat suspek lain merupakan tenaga pengajar dan pekerja di institusi memandu.
“Lima daripada enam suspek lelaki tersebut kini telah direman selepas Penolong Kanan Pendaftar Khairunnisa Kasa membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Khas Reman Seremban.
“Empat daripada mereka direman selama lima hari, seorang selama tiga hari manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM disebabkan faktor kesihatan,” memetik kenyataan tersebut.
Menurut sumber, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 35 hingga 65 tahun itu ditahan sekitar jam 5 hingga 6 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kesemua suspek yang terlibat dikatakan telah meminta dan menerima rasuah berjumlah antara RM300 hingga RM650 daripada pemohon.
Tindakan itu sebagai imbuhan bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di negeri itu.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) & Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.