DUA lelaki telah ditahan oleh pihak polis Johor bagi membantu siasatan berhubung ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja band pada Ahad.
Kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 48 tahun itu telah ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 3.30 petang.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah,” jelas Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada Astro AWANI.
“Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berikutan siasatan masih dijalankan,” tambah beliau lagi.
Terdahulu, pihak polis telah menjalankan usaha memburu suspek yang dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat serta membuat ancaman bunuh terhadap kumpulan muzik terkenal Indonesia tersebut selepas menerima laporan pada 5.34 pagi Ahad.
“Pihak polis telah merakam percakapan semua mangsa dan sedang mengesan suspek-suspek yang terlibat dan pihak kami memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu kententeraman awam,” kata Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat di dalam satu kenyataan yang dibuat pada hari yang sama.
Kejadian membabitkan ugutan jenayah itu dihadapi kumpulan berkenaan selepas mereka mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada Sabtu.
Insiden kekecohan yang berlaku pada sekitar jam 11.15 malam Sabtu itu dikatakan tercetus susulan berlaku isu salah faham antara pihak penganjur dan band berkenaan.
Difahamkan, kumpulan berkenaan telah didatangi dua individu lelaki didakwa mewakili pihak penganjur sebelum dilemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh.
Menurut vokalisnya, Ian Kasela, individu terbabit telah melakukan ugutan bunuh terhadap kesemua rakan sekumpulannya sekiranya masih berada di sekitar negara ini.
Kesemua mereka telah pulang ke Indonesia selepas membuat laporan polis pada awal pagi Ahad.
Penganjuran konsert Radja Majestic Johor pada 11 Mac merupakan yang kali pertama diadakan di negeri berkenaan.
Sumber gambar – Spotify | Sumber laporan – Astro AWANI